top of page

PENGENALAN

​

Pendidikan tingkatan enam merupakan satu saluran yang boleh digunakan untuk melanjutkan pengajian selepas pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pelajar yang memilih saluran pendidikan tingkatan enam untuk melanjutkan pelajaran dikehendaki menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi mengukur pencapaian pelajar dalam bidang akademik sebagai kelayakan masuk di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

​

Peperiksaan STPM menawarkan sebanyak 23 mata pelajaran (MPM) yang dikatogerikan kepada dua aliran iaitu aliran kemanusiaan dan sains. Pelajar boleh mengambil peperiksaan STPM melalui calon sekolah bantuan penuh kerajaan, calon sekolah swasta dan calon persendirian. Calon yang mengambil melalui sekolah bantuan penuh kerajaan perlu bersekolah dan menerima pendidikan secara formal selama satu setengah tahun tempoh persekolahan.

 

SYARAT KEMASUKAN:

Syarat umum bagi kemasukan ke Tingkatan Enam ialah lulus SPM dengan mendapat kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia.  Bagi melayakkan murid ke aliran Sains Sosial, jumlah mata unit bagi tiga mata pelajaran yang terbaik mestilah tidak melebihi 12, aliran Sains tidak melebihi 18 mata unit, manakala bagi aliran Agama tidak melebihi 14. Semua tawaran kemasukan dibuat secara atas talian dan  calon-calon yang tidak mendapat tawaran boleh membuat rayuan di Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.

 

Pusat Tingkatan Enam terbahagi kepada tiga Mod iaitu:

 

Mod 1 - sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas yang menempatkan hanya murid-murid Tingkatan Enam sahaja dan diajar oleh guru-guru akademik yang telah dilantik sebagai guru Tingkatan Enam.

 

Mod 2 - sekolah yang mempunyai sekurang-kurangnya 12 kelas, beroperasi di sekolah arus perdana tetapi di blok atau bangunan yang berasingan. Walau bagaimanapun, Pusat Mod 2 ditadbir oleh Pengetua arus perdana dengan kerjasama Penolong Kanan Tingkatan Enam.

 

Mod 3 - sekolah yang mempunyai kurang daripada 12 kelas atau sekolah yang jauh daripada bandar, tiada kemudahan asrama atau pengangkutan awam, dan beroperasi  di sekolah arus perdana.

 

Sumber rujukan:

Mokhtar Pet, Ahmad Johari bin Sihes, 2013. Pemikiran Guru Cemerlang Mata Pelajaran Tingkatan Enam Dalam Pengajaran. 2 nd International Seminar on Quality and Affordable Education (ISQAE 2013)

 

 Sumber: http://www.moe.gov.my/my/tingkatan-enam

bottom of page