top of page

Sejarah Sekolah

SMKTPD adalah sebuah sekolah persendirian yang ditubuhkan pada 1910. Menurut catatan awal penduduk Port Dickson, kemungkinan besar sekolah ini dibuka oleh Encik E.A. Pinto di sebuah rumah kedai berhampiran dengan pasar lama Port Dickson sekarang. Puan Felsinger membuka sebuah lagi sekolah di rumah kedai di Coffee Mill Road yang kini dikenali sebagai Jalan Lama. Kemudiannya, sekolah ini telah diambil alih oleh isteri Ketua Polis Port Dickson, Puan Edwards. Sekumpulan penduduk tempatan yang diketuai oleh Encik Kandiah, Ketua Pos telah membuat rayuan kepada kerajaan untuk mengambil alih sekolah persendirian Puan Edwards.Sekolah ini dipindahkan ke tempat letak kereta Balai Bomba. Selepas beberapa bulan kemudiannya, sekolah ini dipindahkan pula ke stor J.K.R dan dikendalikan oleh Puan Edwards yang dibantu oleh Encik Rasiah dari St.Paul’s Institution. Kemudiannya, pentadbiran sekolah ini diambil alih untuk sementara sahaja oleh Cik Stork dan perkhidmatan Encik Rasiah juga Singkat.

​

Pada tahun 1919, sekolah ini dipindahkan di tapak Sekolah Rendah Kebangsaan Port Dickson sekarang ini. Cik Fernandez dari Singapura dilantik menjadi pengetua. Selepas itu, pentadbiran sekolah ini diambil alih oleh Cik Stuart yang datang dari Singapura dan dibantu oleh adiknya dan Cik Ross Smith. Pada tahun-tahun permulaannya, sekolah ini hanya mengambil guru-guru perempuan sahaja.Sekolah ini telah kehilangan 3 orang guru serentak apabila adik Cik Stuart berpindah manakala Cik Ross Smith dan Cik Stuart membuat keputusan untuk berkahwin.Pada tahun 1924, sekolah ini memecahkan tradisi apabila Encik S.P.S Kannu dari Kuala Pilah dilantik menjadi Guru Besar dan dibantu oleh Enck L.V. D’Souza. Bilangan pelajar di sekolah ini hanya 80 orang dan sehingga darjah 5 sahaja. Bilangan pelajar bertambah menjadi 200 orang dari tahun 1924 sehinggalah pada zaman peperangan Jepun di Malaya. Pada masa pemerintahan Jepun sekolah ini menjadi sebagai Ibu Pejabat Syarikat Pembinaan Kapal Jepun (Nippon Go-Gokha).

 

Selepas perang Dunia Ke Dua sekolah ini dibuka semula dan ditempatkan sementara di Sekolah Melayu Kampung Gelam kerana sekolah yang sedia ada sedang dibaik pulih.  Selepas 6 bulan sekolah ini berpindah ke bangunannya sendiri dan ditadbir oleh Encik Lionel Van Geyzel sebagai Guru Besar. Bilangan pelajar telah bertambah menjadi 656 orang kerana 2 blok bilik darjah yang baru telah dibina. Pada akhir tahun 1953, Encil Van Geyzel bersara dan digantikan dengan Encik O.E.Fernandez dari Seremban. Pada tahun 1955, sekolah ini menyediakan kumpulan pelajar yang pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge School Certificate .

 

Pentadbiran sekolah telah dibahagikan kepada 2 bahagian pada tahun 1958 iaitu bahagian sekolah rendah dan bahagian sekolah menengah. Bahagian sekolah rendah dikenali sebagai Government English Primary School Port Dickson dan bahagian sekolah menengah pula dikenali dengan nama Government English Secondary School Port Dickson.  Bilangan pelajarnya semakin bertambah iaitu 938 orang di sekolah rendah dan 540 di sekolah menengah.Encik D.E.Fernandez menjawat jawatan Guru Besar bagi Sekolah Menengah Inggeris Port Dickson manakala Encik R.Kumurasamy mengambil alih Sekolah Rendah Inggeris Port Dickson kemudiannya digantikan oleh Encik M.B. D’Crus dari Chembong. 

​

Encik D.E.Fernandez bersara pada bulan Mei 1960 dan digantikan oleh Encik Thilagaratnam dari Seremban. Pada tahun 1960, bilangan murid telah bertambah menjadi 893 orang dan seramai 40 orang mengambil peperiksaan persekolahan Cambridge. Walaupun sekolah telah dipisahkan, masalah kekurangan kelas masih wujud. Pada masa ini sekolah menengah beroperasi pada sebelah pagi dan sekolah rendah di sebelah petang kerana mereka menggunkan bangunan yang sama. Pada tahun 1961, kelas aliran Melayu telah dimulakan di Sekolah Melayu Kampung Gelam dan ditadbirkan oleh Sekolah Menengah Inggeris Port Dickson. Pada Januari tahun 1964 bangunan baru Sekolah Menengah Inggeris Port Dickson siap dan Encik V.Murugesu bertugas sebagai Guru Besar  sehingga tahun 1965 sebelum digantikan dengan Encik Lian Teck Jin. 

 

Encik Lian Teck Jin telah meletak jawatan pada bulan Februari  tahun 1966 dan digantikan oleh Encik R. Visvathan.  Pada tahun 1968, bangunan Sekolah Menegah Inggeris telah siap sepenuhnya.Pada tahun 1969, Sekolah Menengah Kebangsaan menjadi berasingan dan ditadbirkan oleh Encik Mohd bin Ismail sebagai pemangku Guru Besar. Bangunan ini telah dirasmikan pembukaannya pada 30 Mac 1966 oleh Yang Berhormat Encik Mohd. Khir bin Johari, Menteri Pelajaran ketika itu dengan penuh gilang gemilang.  Sementara itu, kelas Tingkatan Enam Sastera telah dimulakan di sekolah ini pada 1972. Pada 16 Oktober 1974, sekolah ini telah ditukarkan nama dari Government English School kepada SMI PD dan kemudian kepada Sekolah Tinggi Port Dickson dan Encik R. Visvathan dipindahkan ke Pulau Pinang pada Mei tahun 1979.

 

Encik Harbajan Singh Sidhu dari Gemas mengambil alih jawatan Pengetua di sekolah ini pada 1979 sehingga tahun 1985. Pada tahun 1980 sebuah surau yang bernilai RM 11,000 telah dibina dengan usaha yang berterusan dari Cikgu Abdullah. Di bawah pentadbiran Encik Harbajan Singh Sidhu sebuah bangunan 2 tingkat yang mengandungi 3 bilik makmal dan 3 bilik darjah telah dibina pada tahun 1982.. Kemudian pada 1990, 12 bilik darjah Kemahiran Hidup telah siap dibina. Encik Harbajan Singh Sidhu  telah digantikan oleh Encik S. Panchalingam sebagai Pengetua Sekolah Tinggi Port Dickson pada bulan Mac !985 dan telah berkhidmat sehingga bulan Oktober tahun 1989. 

 

Tuan Haji Baharin bin Talib dilantik menjadi Pengetua sekolah ini. Perpustakaan telah diubahsuai dan dibesarkan untuk kemudahan pelajar-pelajar Tingkatan 6. Beliau telah mengubahsuai bilik P.O.L. menjadi bilik Penolong Kanan, Penolong Kanan HEM dan bilik-bilik Guru Kanan Bidang bagi melicinkan pentadbiran.Dalam bidang keceriaan, Tuan Haji Baharin bin Talib telah membuat beberapa perubahan seperti mengindahkan kawasan sekolah dengan taman-taman bunga, membuat pintu masuk hadapan sekolah, dan arca di hadapan sekolah. Di samping itu, beliau juga membuat Galeri Sejarah, Mural Sejarah, bilik makan di kantin sekolah dan sebagainya. Beliau bersara pada 28 Mei 1993. 

 

Kemudian Tuan Haji Nordin bin Bakeri, seorang bekas pelajar dan bekas guru sekolah ini telah menyandang jawatan Pengetua STPD pada 1 Ogos 1993. Motto sekolah “To Each His Need, from Each His Power” yang bermaksud “Kejayaan Seseorang Itu Berpunca daripada Usahanya Sendiri”  dipraktikkan semasa beliau memimpin sekolah ini. Kemudian Tuan Haji Abdul Rahman Awang menjadi pengetua . Pendekatan yang digunakan oleh beliau ini agak berbeza dengan Tuan Haji Nordin. Tuan Haji Abdul Rahman memilih pendekatan lemah lembut sebagai teras untuk memimpin STPD.

 

Pada 1997 Encik Khoo Yee Liew telah dilantik menjadi pengetua . Beliau adalah bekas pelajar sekolah ini. Prinsip yang digunakan oleh Encik Khoo ialah berusaha untuk mengekalkan status quo STPD sebagai sekolah terunggul di daerah Port Dickson. Beliau mengamalkan konsep “untuk berjaya pelajar mestilah bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan sentiasa mematuhi disiplin sekolah.” Pada permulaannya konsep ini sukar namun akhirnya membuahkan hasil yang hebat. Ini terbukti apabila beberapa orang pelajar telah mampu menerima Anugerah Kecemerlangan dalam peperiksaan SPM daripada Menteri Pendidikan sendiri. Kejayaan yang paling bermakna semasa Encik Khoo menjadi pengetua di sekolah ini ialah STPD telah mendapat 3 blok bangunan yang bertingkat 4 dan sebuah bangunan makmal komputer. Satu lagi kejutan yang berjaya dilakukan oleh Encik Khoo ialah mengadakan kembali persekolahn 1 sesi yang pernah dialami pada awal penubuhan sekolah ini pada tahun 1960an. 

 

Pada tahun 2005, Encik Khoo telah bersara dan kemudiannya jawatan ini telah dijawat oleh Tuan Haji Hamzah bin Haji Abu yang sebelum ini bertugas di Jabatan Pelajaran. Kemudian  beliau berpindah ke JPNS. Beliau telah digantikan oleh Puan Hajjah Hamidah binti Burok pada 2007. Puan Hajjah Hamidah binti Burok yang memulakan tugas sebagai seorang Pengetua di sekolah ini pada 1 Jun 2007 dan telah memecahkan tradisi sekolah ini kerana jawatan Pengetua telah disandang oleh kaum wanita buat pertama kalinya.

 

Sumber:

https://smktinggiportdickson.weebly.com/

bottom of page